Click for Irbid, Jordan Forecast

HUBUNGI SAYA DI hjhgenius@gmail.com UNTUK KETERANGAN LANJUT!!!
Click Here to Visit malaysia blog blogger

Mengapa Wanita Tumbuh Fibroid?

Ahad, November 29, 2009

Umur empat puluhan merupakan umur yang penting bagi seseorang wanita kerana dalam jangka waktu ini banyak perubahan yang berlaku sama ada perubahan jasmani, mental, emosi atau rohaniah. Kali ini,dibincangkan satu aspek perubahan jasmani yang boleh mengancam atau menjejaskan kesihatan seseorang wanita yang menjangkau umur empat puluhan. Ramai di kalangan mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan bersetuju bahawa dalam peringkat ini mereka mengalami berbagai-bagai perubahan. Salah satu daripada perubahan itu ialah gangguan haid.

Pelbagai Gangguan Haid
Pelbagai gangguan haid boleh berlaku sama ada haidnya berjalan secara tidak teratur atau secara teratur tetapi keluar dengan banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami masalah sakit (senggugut) ketika turun haid dan darahnya keluar berketul-ketul sehingga badannya menjadi lemah disebabkan kehilangan darah yang begitu banyak. Ada pula yang diganggu oleh perjalanan haid yang tidak betul seperti keluar tidak tentu masa dan sedikit demi sedikit serta berpanjangan pula. Ada pula yang tidak keluar haid selama beberapa bulan dan apabila keluar, wanita itu mengalami pendarahan yang begitu banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid seperti keluar sekali dalam dua atau tiga bulan dengan sedikit sahaja. Bagi mereka yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid ini selalu berasa bimbang sama ada dia akan mengalami putus haid (menopaus) atau tidak. Ada sesetengah wanita pula mengalami masalah turun darah selepas melakukan persetubuhan dengan suami. Ini mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya seperti ketumbuhan besar.
Oleh itu, dinasihatkan kepada kaum wanita, jika dia mengalami masalah-masalah yang dinyatakan di atas, eloklah dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor mereka atau daripada pakar sakit puan.

Gangguan Haid Boleh Menandakan Ketumbuhan Dalam Rahim
Gangguan haid yang berbagai-bagai bentuk boleh menandakan sesuatu penyakit dalam rahim. Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan, penyakit yang sering menyebabkan gangguan haid ialah ketumbuhan daging pada dinding rahim, iaitu ketumbuhan yang dinamakan fibroid. Walau bagaimanapun, ada penyakit-penyakit lain yang lebih ditakuti seperti kanser pangkal rahim, kanser rahim dan ketumbuhan lain seperti endometriosis, adenomysis dan jangkitan kuman di dalam perkakas peranakan.
Bagaimanapun, hanya akan dibincangkan tentang fibroid kerana ini merupakan ketumbuhan dalam rahim yang paling sering menyerang wanita. Walaupun, ketumbuhan fibroid sering berlaku, namun tidak kesemua ketumbuhan ini menimbulkan masalah dan kadang-kala seseorang wanita tidak sedar dia mempunyai ketumbuhan tersebut sehingga akhir hayatnya kerana ketumbuhan itu tidak menimbulkan apa-apa tanda ataupun gejala yang boleh mengancam kesihatannya.

Apakah Ketumbuhan Fibroid?
Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.
Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”.

Mengapa Tumbuh Fibroid?
Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.
Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.
Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid.

Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan.
Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja.
Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.
Apakah Gejala-gejala Fibroid?
Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen. Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.
Gangguan Haid
Tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan kesihatannya.

Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor pakar sakit puan.

Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
Fibroid boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung.
Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya. Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.

Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing
Pundi-pundi air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman. Akibatnya seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala wanita juga tidak boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.

Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan.

Apakah Fibroid Perlu Dirawat?
Seperti yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun), fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak diperlukan.
Setakat ini tidak ada rawatan yang menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar biasa.

Fibroid Dirawat Secara Pembedahan
Rawatan yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak.
Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.
Pembedahan untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.

Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)
Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan sediakala.

Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti.

Kejelitaan Dipengaruhi oleh Hormon
Kejelitaan dan fungsi seksual lebih dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan oleh kilang ovari. Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang ovari akan dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana kilang ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan dan juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara suami isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan akan menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang tidak teratur serta berpanjangan. Wanita itu akan menghadapi hidup yang lebih selesa tanpa haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh menumpukan lebih masa untuk beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk bersembahyang atau berpuasa kerana haid tidak akan datang lagi dan hubungan seksual boleh dilakukan pada bila-bila masa. Keadaan kesihatan akan menjadi lebih baik kerana kehilangan darah tidak akan berlaku lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi lebih sihat dan sejahtera selepas pembedahan hysterektomi.
Ketumbuhan fibroid yang wujud bersama dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya dirawat dengan pembedahan melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut akan wujud di bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan dilakukan menerusi saluran faraj. Di samping itu, kekenduran pada saluran faraj dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran berlaku pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan pembedahan untuk membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di sekeliling rahim akan menjadi lebih kukuh lagi.

Ditekankan sekali lagi, bahawa fibroid adalah ketumbuhan yang paling sering berlaku di dalam rahim wanita tetapi puncanya tidak diketahui. Ia bukan ketumbuhan kanser dan jarang menyebabkan kematian tetapi ia boleh menimbulkan beberapa gejala termasuk gangguan haid, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan perkencingan dan sebagainya. Setakat ini tidak ada ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan ini. Rawatan yang mutlak baginya ialah pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut sama ada ketumbuhan itu disertai dengan pembuangan rahim atau hanya pembuangan ketumbuhan sahaja. Umur empat puluhan ialah tahap umur yang sering diserang dengan masalah ketumbuhan fibroid.

APAKAH KESAN PEMBEDAHAN MEMBUANG RAHIM?
Ramai wanita telah menjalani pembedahan untuk membuang rahim mereka kerana sebab-sebab tertentu dan dalam keadaan yang penting atau cemas. Ramai di kalangan mereka mendapat faedah dan manfaat daripada pembedahan tersebut, tetapi ada juga di kalangan mereka yang menyesal, rasa bersalah dan juga mengalami berbagai-bagai masalah serta pergolakan emosi dan mental. Ada juga yang mengalami masalah hubungan antara suami isteri. Kali ini saya ingin membincangkan tentang baik buruknya pembedahan tersebut, kesan jangka pendek dan panjang, dan apakah punca-punca yang menyebabkan doktor melakukan pembedahan untuk membuang rahim.
Bagi wanita, rahim adalah satu organ badan yang sangat penting kerana ia melambangkan kewanitaannya dan satu tonggak bagi kesuburannya. Tanpa organ ini, wanita itu pincang atau tidak cukup sifat, dan ada di antara mereka menyangka, bahawa dia bukan seorang wanita lagi. Sesetengah suami pula menganggap, wanita tanpa rahim bukanlah wanita dan padanya mungkin kurang berguna lagi.
Sebenarnya, ada dikalangan wanita-wanita yang lahir tanpa rahim. Ini adalah keadaan semula jadi yang disebabkan oleh sesuatu gejala yang timbul dalam proses pembentukan organ tetapi bahagian lain peranakan, seperti saluran faraj dan kilang ovari masih ada. Wanita ini masih mempunyai sifat fizikal, perwatakan dan lain-lain ciri kewanitaan, melainkan dia tidak didatangi haid, tidak mungkin hamil dan melahirkan anak walaupun sekarang ini ada cara melahirkan ataupun meneruskan bakanya secara meminjam rahim orang lain tetapi dengan menggunakan benih suaminya. Wanita yang lahir tanpa rahim sebenarnya tidak merasa dirinya lain daripada wanita lain, melainkan dia tidak didatangi haid sahaja seperti wanita lain.
Begitu juga keadaannya di kalangan wanita yang telah menjalani pembedahan untuk membuang rahim. Apa yang kurang pada dirinya ialah dia tidak didatangi haid setiap bulan sedangkan fungsi-fungsi lain adalah seperti biasa. Pusingan hiad bagi wanita adalah sangat penting untuk menunjukkan bahawa dia subur dan mempunyai perkakas peranakan yang normal. Tetapi, ada juga wanita yang mempunyai rahim, kilang telur dan saluran faraj yang normal tetapi haidnya tidak datang atau datang secara tidak teratur.
Apakah sebenarnya hikmah atau pengertian di sebalik kedatangan haid setiap bulan dari segi pandangan ahli sains perubatan? Sebenarnya, haid datang setiap bulan oleh sebab tidak ada kehamilan berlaku. Jika kehamilan berlaku, tanda pertama ialah haidnya tidak datang. Kedatangan haid setiap bulan dikawal oleh pusingan hormon di dalam darah badan wanita. Apabila seseorang wanita itu mengandung, kandungan hormon meningkat dan menyebabkan haid tidak datang. Haid yang tidak datang sewaktu hamil adalah penting kerana wanita perlu menyimpan darahnya untuk menampung keperluan bayi yang sedang membesar dalam rahim.
Sebenarnya, wanita tidak didatangi haid oleh sebab-sebab tertentu ataupun disebabkan rahimnya dibuang atau diberi ubat untuk menahan atau melambatkan haid, dia tidak mengalami apa-apaa masalah seperti keracunan darah. Ada sesetengah orang percaya, bahawa jika darah haid tidak keluar maka darah kotor ini akan bertimbun dalam badan menyebabkan keracunan. Oleh itu, ramai wanita yang percaya, bahawa jika haidnya tidak datang, dia akan merasa tidak sihat dan mengadu tentang berbagai-bagai macam kesihatan di seluruh tubuh badannya. Tetapi, ini hanyalah satu anggapan dan kepercayaan sahaja.

Mengapa Rahim Perlu Dibuang?
Pada masa ini, khususnya di negara-negara Barat, pembedahan untuk membuang rahim berlaku begitu banyak oleh sebab-sebab yang begitu remeh. Ini mungkin disebabkan oleh sikap yang kian berubah di kalangan wanita sendiri dan di kalangan doktor. Di negara Barat, terlalu banyak pembedahan untuk membuang rahim dilakukan di kalangan wanita yang berumur tiga puluhan oleh sebab-sebab masalah pendarahan dari rahim yang tidak tentu masa dan mungkin berlebihan. Pada hal, tidak ada ketumbuhan yang berbahaya pada rahim. Di Malaysia, kita masih lagi bersikap konservatif dan doktor tidak begitu bebas untuk melakukan pembedahan membuang rahim. Biarlah sikap ini dikekalkan kerana saya sendiri percaya, bahawa membuang rahim oleh sebab perkara-perkara yang agak remeh boleh menimbulkan beberapa masalah emosi dan mental di kalangan wanita dan ia mungkin boleh menjejaskan hubungan kelamin. Tetapi, pembedahan untuk membuang rahim tidak boleh dielakkan dalam keadaan-keadaan seperti yang berikut:
1. Tumbuhan Kanser
Ketumbuhan kanser yang paling sering di kalangan wanita ialah kanser pangkal rahim, kanser badan rahim dan kanser ovari. Dalam keadaan-keadaan begini, doktor dan wanita berkenaan tidak ada pilihan lain melainkan menjalani pembedahan untuk membuang rahim dan bahagian-bahagian sekitarnya.
Bagi kanser pangkal rahim, bukan sahaja rahim dan pintu rahim yang akan dibuang tetapi juga melibatkan sebahagian atas saluran faraj, kelenjar-kelenjar di sekelilingnya, dan kilang telur juga dibuang. Ini adalah pembedahan radikal yang besar dan ia dilakukan untuk menyelamatkan wanita tersebut. Penyakit kanser seperti yang kita ketahui adalah sejenis penyakit yang boleh merebak jauh, bukan sahaja di kawasan sekitar ketumbuhan itu, malah ia merebak melalui darah untuk merosakkan paru-paru, hati dan lain-lain.
Apa yang menjadikan kita dalam keadan ini ialah kadang-kala penyakit kanser ini boleh menyerang wanita yang masih muda, khususnya kanser ovari. Boleh saya katakan di sini, bahawa kebanyakan wanita yang diserang penyakit kanser adalah mereka yang berumur empat puluhan ke atas, kanser badan rahim menyerang wanita yang lepas putus haid dan kanser ovari pula menyerang wanita yang berusia dalam lingkungan 45 ke atas
.
Tetapi saya sendiri telah banyak kali menemui kes-kes gadis atau wanita yang masih muda menghidapi penyakit kanser kilang telur dan ovari. Dalam keadaan ini, kadang-kadang doktor tidak mempunyai pilihan lain, melainkan membuang semua organ peranakannya termasuk rahim dan ovari. Tetapi, sekarang ada dikalangan doktor yang lebih konservatif dalam pendekatan atau kaedah pembedahan. Jika wanita itu masih muda dan wanita itu menghidapi penyakit kanser ovari, mungkin hanya ovari yang terlibat sahaja yang dibuang, dan dia cuba mempertahankan rahim atau ovari yang lain, demi untuk kemungkinan wanita ini melahirkan zuriat di masa hadapan.
Pembedahan untuk membuang rahim memang tidak boleh dielakkan dalam penyakit kanser yang melibatkan perkakas peranakan dan memang diakui dan tujuannya adalah untuk menyembuhkan penyakit tersebut dan untuk memberi peluang wanita itu hidup lebih lama lagi, walaupun adakalanya setelah dibedah wanita itu masih lagi menghidapi penyakit kanser.

2. Penyakit Ketumbuhan Seperti Fibroid
Ketumbuhan fibroid yang menimbulkan masalah seperti pendarahan yang banyak dan berpanjangan memerlukan pembedahan dan kadangkala rahim perlu dibuang bersama dengan ketumbuhan tersebut. Itu pun jika wanita itu telah mempunyai anak dan tidak berhasrat untuk mempunyai anak lagi. Tetapi bagi wanita yang masih mudah dan masih inginkan zuriat, biasanya doktor hanya membuang ketumbuhan fibroid sahaja.
Wanita yang berumur 40 ke atas dan telah mempunyai anak serta menderita akibat daripada pendarahan atau kesakitan waktu haid, perlulah menjalani pembedahan untuk membuang rahim. Dalam keadaan ini, jika ovari atau kilang telur masih baik lagi, biasanya ia tidak akan dibuang tetapi disimpan untuk pengeluaran hormon estrogen demi untuk mengekalkan keserian dan ciri-ciri hormon estrogen demi untuk mengekalkan keserian dan ciri-ciri kewanitaan wanita tersebut.
Banyak ketumbuhan fibroid tumbuh semula setelah dibedah jika rahimnya tidak dibuang pada ketika itu. Oleh itu, wanita berkenaan perlu berwaspada dan patut membuat pemeriksaan setiap tahun atau enam bulan sekali, sama ada ketumbuhan itu tumbuh semula atau tidak. Jika ketumbuhan itu masih berulang semasa pembedahan yang pertama, pembedahan yang kedua perlulah dilakukan untuk membuang rahimnya.

3. Penyakit Endometriosis
Penyakit endometriosis yang berlarutan boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti senggugut yang amat teruk, pendarahan yang banyak pada waktu dan di luar waktu haid, kesakitan semasa hubungan kelamin dan kemandulan. Sebenarnya, penyakit endometriosis ini semakin meningkat dan semakin kerap berlaku di kalangan wanita masa kini. Saya sendiri tidak faham apa puncanya, mungkin ada kaitannya dengan perubahan cara hidup kita, khususnya kahwin lambat, penjarakkan anak dan penangguhan untuk hamil. Tetapi, apa yang ketara ialah tekanan fizikal, mental dan emosi yang kian meningkat pada masa kini yang boleh menyebabkan masalah penyakit endometriosis ini.
Penyakit endometriosis adalah disebabkan oleh tumpuhan atau limpahan darah di luar rahim akibat tisu endometrium tumbuh di luar rahim seperti di kilang telur ovari, di belakang rahim, di hadapan rahim, saluran Falloppian dan di kawasan sekitar seperti pundi-pundi air kencing dan saluran kencing. Masalah utama yang dialami oleh pesakit endometriosis ini ialah senggugut dan ketidaksuburan atau kemandulan, seterusnya menyebabkan masalah-masalah haid yang mungkin berlebihan atau berpanjangan dan teruk yang mungkin menyebabkan kesakitan semasa hubungan kelamin. Bagi wanita yang mengalami masalah ini, saya sungguh bersimpati terhadap mereka kerana ramai wanita setelah menjalani pembedahan atau rawatan, menghidapi penyakit ini semula.
Ada yang percaya, bahawa penyakit ini akan sembuh apabila wanita itu hamil, tetapi untuk menjadikan wanita itu hamil adalah satu masalah besar. Pelbagai jenis rawatan diberi dan dilakukan, masih tidak berjaya dan apabila gagal untuk hamil, wanita ini akan mengalami ulangan penyakit tersebut. Akhirnya, penyakit ini akan merebak menyebabkan gejala-gejala yang saya nyatakan tadi, dan apabila wanita itu sampai ke umur 40 ke atas, rahim dan mungkin kedua-dua ovarinya terpaksa dibuang kerana diserang penyakit endometriosis.

4. Prolaps Rahim Atau Rahim Terkeluar
Bagi wanita, khususnya wanita yang telah putus hadi, masalah prolaps rahim atau rahim terkeluar boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah. Ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan kerana setiap kali wanita berkenaan berdiri, meneran atau batuk, rahimnya terkeluar. Tetapi, apa yang kadang-kadang menyulitkan wanita ialah apabila dia bersin, batuk, mengangkat benda-benda yang berat dan kadang-kadang ketika sujud dalam sembahyang dia terkencing.

Inilah yang menyulitkan mereka kerana ia akan membatalkan sembahyang, dan jika prolaps rahim menimbulkan masalah perkencingan dan lain-lain perkara perlulah dibedah. Pembedahan ini biasanya dilakukan melalui saluran faraj dari bawah, tidak ada parut di perut dan biasanya rahim akan dibuang sama sekali.

5. Pendarahan Ketika Atau Selepas Bersalin
Banyak kali saya menyaksikan perkara ini berlaku. Wanita sepatutnya bersedia sebelum bersalin kerana pendarahan akan berlaku ketika seseorang wanita itu melahirkan anak dan kebanyakannya sedikit sahaja dan tidak akan mengganggu kesihatannya. Tetapi, adakalanya pendarahan ini berlaku dengan begitu banyak, mungkin akibat rahim tidak boleh kuncup, rahim lemah ataupun uri melekat dan tidak boleh langsung dipisahkan, ataupun lain-lain punca seperti kecederaan akibat daripada pembedahan ataupun kelahiran secara forseps atau vakum.
Ini akan menyebabkan pendarahan yang begitu banyak. Akhirnya, apabila pendarahan berlaku dengan begitu banyak, ia akan mengancam nyawa ibu tersebut dan doktor akan cuba berbagai-bagai cara untuk mengatasi pendarahan ini untuk menyelamatkan ibu dengan cara melakukan pembedahan kecil untuk membuang uri jika ia melekat. Ada wanita memerlukan darah sampai 40 hingga 50 botol demi untuk menyambung nyawanya.
Akhirnya, rahim terpaksa dibuang untuk menghentikan pendarahan tersebut, jika ia berdarah seperti air paip dan darah yang dimasukkan melalui tranfusi tidak akan dapat menampung atau mengatasi tumpahan darah yang begitu banyak daripada saluran rahim.
Apa yang menyedihkan dalam hal ini ialah kadang-kadang ia berlaku di kalangan wanita yang melahirkan anak sulung dan dia perlu dibedah untuk membuang rahim oleh sebab pendarahan yang begitu banyak, di mana keadaan ini boleh menimbulkan masalah di masa hadapan. Tetapi, wanita itu tidak ada pilihan di waktu itu kerana pilihan dia dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya. Jika tidak, dia mungkin akan mengalami maut.

6. Pendarahan Yang Luar Biasa
Satu keadaan yang sering mengganggu wanita ialah pendarahan yang berpanjangan dan tidak tentu masa. Apabila doktor memeriksa dan merawat secara D & C atau dengan ubat-ubatan, doktor tidak dapat mengesan ketumbuhan atau kanser, ataupun lain-lain penyakit. Pendarahan luar biasa ini adalah disebabkan oleh keadaan hormon yang tidak seimbang dan dalam istilah perubatan kita, ia dinamakan dysfunctional uterine bleeding. Keadaan inilah yang paling sering menyebabkan pembedahan dilakukan untuk membuang rahim khususnya di negara Barat.

Saya percaya, ketidakseimbangan hormon yang akhirnya menyebabkan masalah pendarahan luar biasa adalah disebabakan oleh keadaan mental dan tekanan jiwa yang sekarang ini begitu banyak berlaku di kalangan wanita-wanita Barat dan mungkin sedang merebak di kalangan wanita-wanita di negara kita. Sebenarnya kes-kes seperti ini perlulah dirawat secara konservatif dulu, iaitu dengan ubat-ubatan ataupun dengan pembedahan kecil seperti D & C, dan juga lain-lain rawatan sokongan, khusus bagi wanita-wanita yang mengalami masalah tekanan jiwa dan mental.

Satu lagi perkara yang boleh menyebabkan pendarahan luar biasa ini ialah wanita yang terlalu gemuk. Wanita ini memerlukan rawatan sokongan diet, bersenam untuk menguruskan badan mengikut apa yang sewajarnya bagi ukuran ketinggiannya. Sebelum kita melakukan pembedahan untuk membuang rahim oleh sebab pendarahan yang luar biasa yang mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon, segala percubaan, segala kaedah rawatan patutlah dicuba dahulu dan wanita itu juga patut bertenang dan tidak memaksa atau mendesak untuk melakukan pembedahan untuk membuang rahim.

Saya percaya, ramai wanita biasanya memaksa doktor untuk melakukan pembedahan untuk membuang rahim. Inilah yang sering berlaku di negara Barat dan pembedahan untuk membuang rahim ini sangat banyak dilakukan. Pada masa ini, ada tatacara pembedahan yang tidak melibatkan rahim di buang tetapi cuma sebahagian lapisan dalam rahim di buang melalui pembedahan yang dinamakan debulking menerusi alat teropong hysteroskop.

Kaedah pembedahan ini hanya sesuai untuk wanita yang tidak mengalami ketumbuhan tetapi mengalami pendarahan yang banyak dan berpanjangan dan mungkin lapisan rahim itu sangat tebal. Pembedahan ini tidak sesuai bagi ketumbuhan lain seperti kanser atau ketumbuhan fibroid, endometriosis dan sebagainya.

Pembedahan rahim adalah satu pembedahan yang besar. Sebelum keputusan dibuat, wajarlah berunding secara bersama-sama antara suami isteri. Namun, dalam konteks masyarakat kita, khususnya masyarakat Islam, mungkin juga ada baiknya perbincangan dan nasihat perlu didapati daripada ibu-bapa wanita berkenaan.

Bagaimanapun, rundingan daripada rakan-rakan tidak diperlukan kerana mungkin akan memberi pelbagai jenis pandangan yang mungkin bercanggah. Doktor adalah orang yang sebaiknya untuk mendapat nasihat dan pandangan. Nasihat dan pandangan dari seorang doktor mungkin tidak mencukupi. Jadi, elok juga mendapatkan pandangan yang kedua atau ketiga dari doktor lain sama ada pembedahan ini perlu dilakukan. Tetapi, dalam kes-kes yang begitu jelas sekali seperti ketumbuhan besar, kanser dan sebagainya, tidak ada pilihan yang lain dan tidak perlu mendapat pendangan doktor lain.

Apa yang penting ialah keputusan dibuat bersama-sama suami dan supaya jangan menyesal di kemudian hari. Kebanyakan kes yang saya lihat, wanita yang menjalani pembedahan tersebut merasa lebih selesa kerana mungkin sebelumnya dia telah menderita daripada berbagai-bagai jenis masalah dan gejala.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails

Ukur Kelajuan Blog Anda

Your domain(s): Enter each address on a new line (Maximum 10)
 
(eg: hjhgenius.blogspot.com.)    
 

 
AHLEN © 2008 Por Dekma