Click for Irbid, Jordan Forecast

HUBUNGI SAYA DI hjhgenius@gmail.com UNTUK KETERANGAN LANJUT!!!
Click Here to Visit malaysia blog blogger

Berat Badan berlebihan

Isnin, November 30, 2009

FAKTA kesihatan terbaru menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada penduduk
di Malaysia didapati mengalami masalah berat badan berlebihan. Daripada jumlah itu,
wanita merangkumi kira-kira 21.4 peratus berbanding lelaki sebanyak 20.1 peratus.

Perbezaan ketara itu pastinya cukup membimbangkan. Cuba lihat diri anda di dalam
cermin. Adakah anda berpuas hati dengan bentuk badan yang dimiliki? Tidakkah anda bimbang memikirkan masalah kesihatan yang mungkin berpunca daripada keadaan
badan anda itu?

Pakar pemakanan, Hanee Fakhrurazi, berkata berbanding lelaki, wanita
lebih mudah mengalami masalah berat badan berlebihan berikutan pelbagai
faktor yang dikatakan dikaitkan dengan peningkatan usia dan juga kemajuan teknologi.

"Peningkatan umur menyebabkan fisiologi badan yang turut mengalami perubahan.
Semakin umur meningkat, jisim lemak turut bertambah dan ini menyebabkan wanita
  lebih mudah mengalami masalah berat badan. Selain itu, kehadiran teknologi yang seharusnya memudahkan tugasan di rumah secara tidak langsung menyebabkan
kurangnya kegiatan harian.

"Dalam hubungan ini, wanita perlu lebih prihatin dengan keadaan diri
mereka kerana masalah berat badan berlebihan bukan sekadar menjejaskan
penampilan tetapi juga boleh menyebabkan kehadiran pelbagai penyakit yang
sering dikaitkan dengan obesiti seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi,"
katanya ketika menyampaikan ceramai di Seminar Pemakanan dan Wanita, di
Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Kedua yang dijalankan pada
1996 menunjukkan masalah obesiti di kalangan wanita ialah 7.6 peratus
atau hampir dua kali ganda berbanding lelaki dengan 4 peratus yang mengalami
masalah sama.

Berita baik bagi wanita yang prihatin dengan masalah berat badan dihadapi.
Jika selama ini anda menganggap sukar untuk mengurangkan pengambilan
makanan, cara terbaik yang dicadangkan Persatuan Pemakanan Malaysia
ialah dengan mengamalkan kaedah pemakanan seimbang.

Tidak perlu mengelakkan makan tengahari atau makan malam, sebaliknya
strategi pengurusan yang betul mampu membantu anda mengurangkan berat
badan, sekali gus memperoleh bentuk badan yang diimpikan.

"Jika mengurangkan pengambilan pemakanan dengan mengelakkan
hidangan utama, anda sebenarnya hanya menimbulkan masalah kerana
apabila perut terasa lapar, anda mungkin akan makan sebanyak-banyaknya.
Ini disebabkan saraf tidak sempat memberi isyarat kepada otak yang perut

sebenarnya sudah kenyang."

"Cara terbaik ialah makan dengan perlahan dan pengurangan berat badan
seharusnya berlaku secara beransur-ansur iaitu 10 peratus daripada berat
badan asal bagi setiap bulan. Seelok-eloknya, antara 2 kg hingga 4 kg
sebulan," katanya lagi.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya wanita yang bermasalah berat
badan berlebihan mengikuti empat langkah mudah iaitu tetapkan matlamat,
tingkatkan aktiviti fizikal, biasakan cara hidup aktif dan makan secara sihat
khususnya makanan tinggi serat.

Fakta:
Risiko Wanita Berlebihan Berat Badan
Strok
Hipertensi
Masalah respiratori
Penyakit jantung
Ketidakseimbangan hormon
Gout
Diabetis Mellitus
Osteoathritis
Kanser

Hamil dan masalah berkaitan

KEHAMILAN merupakan satu keistimewaan dan kelebihan yang
dianugerahkan oleh Tuhan untuk wanita. Bahkan bagi wanita
itu sendiri, kehamilan yang dinantikan merupakan saat yang
paling membahagiakan. Biarpun kehamilan ini merupakan idaman
setiap wanita, namun wanita harus bersedia menghadapi pelbagai
kemungkinan semasa hamil. Bukan semua wanita bernasib
baik dapat menjalani proses kehamilan dengan normal sehingga
melahirkan. Disebabkan oleh pelbagai faktor, ibu yang hamil
ada kalanya tidak dapat mengelakkan diri dari menghadapi
kemungkinan menghadapi pelbagai komplikasi sepanjang kehamilan.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari Pusat Rawatan Islam,
Dr Habibah Abdul Ghani, sebab utama berlakunya komplikasi
ialah kerana berlakunya perubahan-perubahan hormon dalam tubuh ibu
yang hamil ini.

Kehamilan menyebabkan banyak berlaku perubahan fisiologi pada tubuh
si ibu. Perubahan yang disebabkan oleh pertukaran hormon ini menjadikan
kebanyakan sistem dalam tubuh ibu yang hamil juga turut berubah.

Ada sesetengah ibu yang mampu mengadaptasi kadar perubahan
sistem dalam tubuh ini dengan mudah dan tidak kurang juga sebaliknya.
Kadar mengadaptasi ini di kalangan ibu-ibu hamil juga berbeza antara
satu sama lain. Bagi sesetengah ibu, tubuh mereka dapat menerima
perubahan ini dalam waktu singkat dan tidak kurang ada juga yang
memakan masa yang panjang sehingga hampir saat kelahiran.

"Kesukaran si ibu mengadaptasikan sistem tubuh mereka dengan
perubahan-perubahan ini menyebabkan berlakunya komplikasi
sepanjang kehamilan ini. Namun demikian, rawatan yang awal akan
dapat menyelamatkan ibu dan kandungannya," jelas Dr Habibah lagi.

PENDARAHAN

Komplikasi yang jelas dan perlu mendapat perhatian ialah pendarahan
di awal kehamilan. Sebarang titisan darah yang keluar dari vagina
perlu dilaporkan kepada doktor seberapa segera. Biarpun ia mungkin
hanya radangan biasa, namun ia jangan diambil ringan. Pendarahan
tahap pertama berlaku di awal kehamilan ini merupakan ancaman
pengguguran. Ancaman pengguguran ini boleh jadi disebabkan
oleh konsepsi yang tidak normal. Ada kalanya ia boleh menyebabkan
kandungan terus gugur.

Selain daripada itu pendarahan juga mungkin disebabkan oleh:

* masalah keguguran yang kurang sempurna iaitu gugur yang tidak habis.
* 'missed obortion' iaitu darah turun sedikit demi sedikit menyebabkan
si ibu tidak jadi mengandung.
* mengandung di luar rahim ( ectopic pregnancy)
* mengandung kandungan anggur ( molar pregnancy) iaitu keadaan di
mana kandungan si ibu tidak menjadi fetus sebaliknya ia wujud seperti
tiub-tiub berselerakan yang dipenuhi bendalir yang tidak berguna.

Selain daripada itu, komplikasi lain yang dapat dikesan ialah
kontraksi yang terlalu awal. Biasanya berlaku sakit bersalin yang
terlalu awal (pre-mature labour) kerana si ibu itu sendiri ada masalah
kesihatan. Misalnya si ibu mungkin menghidap kencing manis
ataupun ada masalah-masalah lain.

"Kadangkala komplikasi ini teriadi kerana rahim si ibu itu sendiri tidak dalam keadaan yang normal. Misalnya seperti kes pintu rahim terbuka. Jarang berlaku tetapi memang ada kes pintu rahim yang tidak boleh ditutup dan menyebabkan berlakunya pendarahan," jelas Dr Habibah.


Keadaan ini dikenali sebagai 'cervical incompletence', boleh dirawat dengan mengikat pintu rahim tersebut pada peringkat awal mengandung. Apabila kandungan sudah berusia lapan bulan, ikatan ini akan dibuka untuk mengeluarkan bayi tersebut.

PUCAT/ANEMIA

Pucat ataupun dikenali juga sebagai anemia juga merupakan salah satu
komplikasi yang sering melanda ibu hamil. Kurang darah dan pucat ini adalah
keadaan di mana kepekatan darah merah berkurangan daripada biasa.

Pucat ini disebabkan kekurangan hemoglobin dalam darah. Sewaktu mengandung
keperluan hemoglobin untuk si ibu dan anak adalah melebihi daripada biasa.
Sewaktu mengandung, tahap kepekatan hemoglobin dalam darah sebaik-baiknya
tidak kurang dari 11 gram. Kekurangan darah sewaktu hamil memberi
akibat yang buruk kepada kandungan jika ia tidak di atasi dan diberi
rawatan. Antaranya, kemungkinan si ibu akan mengalami keguguran
ataupun melahirkan anak yang tidak cukup bulan.

Bayi dalam kandungan kecil dan lahir dengan keadaan tidak cukup berat badan.

Keadaan kurang darah dapat dikesan melalui pemeriksaan awal semasa
mengandung. Untuk mengatasi masalah ini, siibu akan diberi tambahan
darah dan vitamin sampingan seperti zat besi. Si ibu akan digalakkan
memakan makanan yang membina sel darah merah seperti hati atau limpa.

TEKANAN DARAH TINGGI

Tekanan darah tinggi memang sering berlaku sewaktu mengandung.
Biasanya apabila kandungan tiba di tahap usia lima bulan ke atas.
Tekanan ini berlaku kerana biasanya si ibu tidak dapat mengadaptasi
dengan perubahan fisiologi tubuh semasa hamil.

Ia lebih mudah menyerang kepada ibu yang hamil pada usia yang lebih
dewasa (lebih 35 tahun) ataupun ibu yang masih terlalu muda (usia 17 tahun kebawah).

"Jika ada salah seorang ahli keluarga si ibu yang mengidap penyakit
ini, kemungkinan menghadapi tekanan darah tinggi semasa hamil
lebih tinggi," terang Dr Habibah. Ibu yang sememangnya menghidap
penyakit ini, biasanya di beri perhatian dan pengawasan yang rapi
semasa mengandung untuk memastikan siibu dan janin selamat.

Tekanan darah tinggi yang serius boleh menyebabkan 'eclampsia' atau
lebih dikenali sebagai sawan.

"Serangan sawan semasa hamil sangat merbahaya kerana ia boleh
menyebabkan kedua bayi dan ibu meninggal jika tidak dirawat dengan
sempurna," tegas Dr Habibah lagi.

Tekanan darah tinggi semasa hamil ini sukar di elakkan kerana ia bermula
dari dalam tubuh. Namun dengan pemeriksaan awal, tekanan darah tinggi
dapat ini di kesan dan diatasi. Untuk mengatasi masalah tekanan darah
tinggi ini, ibu yang hamil akan diberi rawatan 'anti-hypertension'. Melalui
rawatan ini, siibu akan diberi ubat untuk mengurangkan dan menstabilkan
tekanan darah.

Kebiasaannya, tekanan darah kembali normal setelah siibu melahirkan.

KENCING MANIS SEWAKTU HAMIL

Perubahan hormon sewaktu kehamilan akan menyebabkan tahap penyerapan
insulin oleh buah buah pinggang berkurangan. Pengambilan makanan yang
mengandungi kandungan gula yang tinggi akan menyebabkan pertambahan
insulin yang berlebihan kerana kadar penyerapan yang berkurang.

"Masalah ini perlu di kesan awal kerana ia boleh menyebabkan bayi dalam
kandungan cacat. Jika ia dapat dikesan dengan lebih awal, kandungan gula
dalam air kencing akan dapat di stabilkan. Oleh yang demikian, perlu bagi
siibu mengandung mengawasi diet mereka untuk mengelakan komplikasi
kencing manis semasa hamil," tegas Dr Habibah lagi.

Jika masalah kencing manis ini tidak serius, ia boleh dikawal dan dirawat
melalui diet seharian.

Sekiranya tidak boleh diatasi dengan diet, biasanya mereka akan diberi
rawatan terapi insulin.

Hindari Kanser Serviks

Apakah itu ujian Pap Smear?
Ujian Pap Smear adalah ujian saringan bagi mengesan penyakit serviks 
yang boleh bertukar kepada kanser serviks jika tidak dirawat.

Dimanakan letaknya serviks?
Serviks adalah pangkal rahim. la menjadi perantara di antara badan rahim di
atasnya dan vagina (faraj) di bawah.
Sebelum menjadi kanser, serviks menunjukkan perubahan di dalam sel-selnya. 
Keadaan awal ini disebut Cervical Intraepithelial Neoplasia (CIN) yang merupakan
peringkat pra-kanser. CIN mengambil masa beberapa tahun sebelum ia bertukar 
kepada kanser serviks. Jangkamasa ini boleh digunakan untuk doktor mengesan 
serta merawatnya, supaya kanser serviks dapat dicegah daripada berlaku
Siapakah yang berisiko mendapat kanser serviks?

Setiap wanita yang pernah mangadakan hubungan seks terdedah kepada 
risiko kanser serviks.

Risiko kanser serviks lebih tinggi pada wanita berikut:


  • Memulakan hubungan seks pada usia kurang 18 tahun


  • Ramai pasangan seks lebih dari seorang


  • Pasangan seks wanita tersebut mempunyai ramai pasangan seks


  • Peringkat CIN


  • Jangkitan kuman HPV (agen penyebab kanser)


  • Merokok


  • Tidak pernah/lebih 3 tahun tidak melakukan ujian Pap Smear.




Bagaimanakah ujian Pap Smear dilakukan?
Pemeriksaan dalaman akan dilakukan menggunakan alat spekulum 
yang dimasukan ke dalam vagina (faraj).

Serviks akan dilihat bagi memastikan ia kelihatan normal.
Sel-sel pada permukaan serviks kemudiannya akan diambil menggunakan alat 
khas (spatula) dan diletakan di atas slaid kaca. Slaid ini kemudiannya dihantar 
ke makmal untuk diproses sebelum dibuat pemeriksaan mikroskopik. Keseluruhan 
proses mengambil masa beberapa hari.
n?Ujian mudah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa anda tidak didatangi haid. Ini kerana sel darah merah haid boleh mengganggu pemeriksaan mikroskopik.

Perkembangan Anak Dalam Kandungan

Pada bulan pertama anda mungkin tidak sedar bahawa anda telah pun mengandung.
Janin dalam kandungan anda amat kecil, hanya berukuran beberapa milimeter sahaja. bagaimana pun jantungnya telah mula berdegup dan paru-parunya telah berkembang.
Setiap organ badanya telah pun mula terbentuk seperti otak dan tulang belakang.


Pada bulan kedua dan ketiga janin sudah semakin membesar dan beratnya kira-kira
30 gram. Malah pada bulan ketiga anda boleh mula mendengar degupan jantung melalui
alat imbasan bunyi (ultra sound) dengan bantuan doktor.
Pada bulan keempat anda mula boleh merasakan bayi anda bergerak-gerak seperti
tendangan kecil. Bulan kelima bayi anda semakin membesar dan jika anda membuat
imbasan, anda akan boleh melihat tangan bayi bergerak ke mulutnya.
Janin mendapat makanan melalui uri
Seterusnya dalam bulan keenam bayi anda semakin aktif bergerak kekiri dan ke kanan
atau berpusing kebawah atau kebelakang. Beratnya kira-kira 0.7kg. Gerakan yang lebih
aktif akan dapat anda rasakan dalam bulan ketujuh dan mula memberi reaksi kepada bunyi bising.

Bayi anda mula mampu mengesan cahaya dan bertindak balas terhadapnya dalam bulan kelapan dan beratnya kira-kira 1.8kg.

Tiba bulan ke sembilan, berat bayi anda bertambah sekurang-kurangnya satu kilogram lagi. Kini anda hanya menunggu masa untuk membawa bayi anda ke dunia ini untuk hidup
bersama anda.

Ibu mengandung alami buasir

BUASIR tidak menjejaskan kandungan, tetapi sebaliknya. Buasir terjadi akibat
pertambahan tekanan dalam ruang abdomen (misalnya akibat saiz kandungan
yang semakin membesar dan berat) sehingga menekan dan menyebabkan salur
darah timbul.

Ia boleh digambarkan seolah-olah seperti salur darah vena yang timbul pada betis
yang lebih dikenali sebagai urat timbul atau varikose vena.

Anda boleh mendapatkan ubatan daripada doktor untuk membantu memperbaiki
tona otot salur darah serta aliran darah melaluinya.

Di samping itu, jika perlu, prosedur mudah juga boleh dijalani apabila anda berjumpa
doktor bahagian pembedahan am.

Buasir dijangka akan berkurangan selepas bersalin kelak.

Buasir boleh menjadi sakit sehingga memerlukan prosedur pembedahan segera.
Sebarang kesakitan boleh menimbulkan stres pada ibu sehingga boleh mencetus
kontraksi bersalin walaupun sebelum usia kandungan matang.

Ingin Hamil Lagi

TERDAPAT pelbagai kaedah ikatan saluran peranakan (tiub falopio) yang
boleh dilakukan sewaktu pembedahan kelahiran (caesarean) atau melalui
pembedahan laparoskopi.

Jika ia dilakukan ketika pembedahan caesarean, antara kaedah yang lazimnya
dilakukan adalah mengikat dan memotong sebahagian tengah tiub falopian.

Melalui prosedur ini, sepanjang kira-kira dua sentimeter pada bahagian tengah
(bahagian ampula) tiub falopio itu dikenal pasti terlebih dulu sebelum ditarik dan
dibentuk seperti satu bulatan atau gelungan sebelum diikat.

Setelah itu, bahagian gelung ini akan dipotong. Apabila benang ikatan ini hancur
kemudiannya, kedua-dua tampuk tiub ini akan terpisah, baki tiub yang berada
hampir dengan ovari tidak lagi tersambung dengan ruang rahim, tampuk tiub yang 
berhubung dengan rahim pula tidak berupaya mengambil telur kerana ia tidak
mempunyai jejari fimbriae malah jauh daripada ovari.

Mengikat tiub falopio bukanlah bermakna mengikat saja. Kaedah mengikat
dilakukan dengan satu tujuan iaitu memisahkan atau menyekat sepenuhnya
bagi memastikan telur tidak dapat disedut masuk menerusi serombong fimbriae
(kaedah fimbriectomy), atau tersekat pada bahagian penghujung tiub (kaedah lain).

Ini juga bermakna secara amnya, tiub terbabit sudah berubah rupa dan panjangnya
serta terputus kesinambungannya dengan ruang rahim.

Terdapat dua cara yang dibenarkan dalam Islam untuk membolehkan kehamilan.

Pertama, menjalani pembedahan menyambung semula tiub falopio ini
(jika pembedahan dahulunya tidak membabitkan fimbriektomi).

Bagaimanapun, ia suatu yang rumit untuk dilakukan, boleh menyebabkan
pembentukan parut, tidak boleh menjadikan panjang tiub kembali normal
serta lebih berisiko mengakibatkan kehamilan luar rahim kelak.

Kaedah kedua yang lebih sesuai adalah menjalani prosedur persenyawaan
tabung uji (IVF). Ia bukan saja dapat memintas keperluan tiub falopio sebagai
tempat persenyawaan (kerana ia diganti dengan piring khas di makmal IVF),
malah pada usia anda (walaupun bagi wanita yang tidak menjalani pembedahan
ikatan tiub falopio), IVF lazimnya adalah pilihan yang lebih sesuai.

Namun, kejayaan kehamilan walaupun dengan kaedah IVF berdasarkan faktor
usia 42 tahun ke atas hanyalah sekitar lima peratus saja.

Memandangkan kebiasaannya prosedur IVF didahului dengan pemberian suntikan
rangsangan telur dengan lebih banyak, dijangkakan lebih banyak pula embrio akan
dihasilkan serta kemungkinan pula doktor akan memasukkan tiga hingga empat embrio kembali ke dalam ruang rahim anda. Walaupun dinyatakan peluang kehamilan
seorang bayi hanyalah kurang daripada lima peratus, tidak mustahil jika anda
mungkin termasuk dalam golongan lima peratus itu dan hamil.

Anda juga mempunyai risiko kehamilan kembar (dua, tiga atau lebih). Harus
diingatkan, pemilihan jantina (melalui kaedah PGD) tidak dibenarkan dalam
Islam, mungkin kerana dikhuatiri nasib embrio yang berjantina tidak dikehendaki.

PCOS tiada penawar kekal

PCOS adalah singkatan kepada Polycystic Ovarian Syndrome. Ia menerangkan sekurang-kurangnya dua daripada ciri-ciri berikut:

1. Ovari yang mempunyai deretan kantung kecil berisi cecair yang asalnya merupakan kantung telur yang tidak dapat membesar atau matang untuk ovulasi dan kekal membentuk cyst.

Lama kelamaan, bilangan cyst kecil ini menjadi semakin banyak (melebihi 12) sehinggakan susunannya di bawah permukaan ovari membentuk corak seperti rantaian biji mutiara.

Dalam keadaan ini, saiz ovari juga membesar. Gambaran ovari ini dapat dilihat menggunakan ultrabunyi (lebih jelas jika menggunakan ultrabunyi transvagina).

2. Gangguan pengeluaran telur, sama ada jarang-jarang (oligo-ovulasi) ataupun tiada langsung (an-ovulasi). Ia dapat dikesan menggunakan pemantauan ultrabunyi ke atas pembesaran dan ovulasi kantung telur baru atau ujian darah (hormon progesteron).

Bagaimanapun, memandangkan ada wanita yang mempunyai kitaran haid tidak menentu, ujian darah berkemungkinan diambil terawal daripada hari yang sepatutnya. Ujian darah hari ke-21 benar jika haid wanita (jika tidak hamil) datang sekitar seminggu dari tarikh ujian itu diambil.

Bagi yang mengalami kitaran haid yang tidak teratur lebih-lebih lagi lewat, ujian darah diambil sekitar seminggu sebelum jangkaan kedatangan haid seterusnya dan mungkin terpaksa diulangi setiap minggu, pengambilan darah setiap minggu ini mungkin tidak digemari sesetengah wanita.

3. Tanda hiperandrogenism (berlebihan hormon kelelakian) seperti kulit muka kasar, berminyak serta mudah berjerawat, mempunyai rerambut misai, janggut, berlebihan berat badan dan seumpamanya.

Penyakit PCOS tiada penawar kekal. Bagaimanapun, anda (jika benar mempunyai PCOS bukannya PCO saja) eloklah melakukan beberapa perubahan gaya hidup untuk mengawal keadaan PCOS. Berikut adalah beberapa panduan:

* Jaga berat badan melalui ubah suai pemakanan dan senaman berterusan. Bukan itu saja, senaman menjadikan anda lebih sihat dari segi fizikal.

Mengambil langkah mudah menggunakan ubat pelangsing badan saja lazimnya tidak memberikan kesan dikehendaki. Dengan ketinggian anda, berat badan anda termasuk dalam kategori berlebihan, melebihi 73 kg pula termasuk dalam kategori obes.

Bukan mudah untuk mencapai kategori ideal. Sebagai permulaan, eloklah anda mengurangkan sebanyak lima peratus dulu (kira-kira empat kilogram) dan diteruskan sehingga ia mencapai ideal di bawah 61 kg kelak.

Kajian juga menunjukkan bahawa mengurangkan berat badan sebanyak serendah lima peratus dapat membantu memulihkan masalah pengeluaran telur.

Mempunyai PCOS mendedahkan seseorang kepada risiko diabetes mellitus, lebih-lebih lagi jika mereka obes, berusia melebihi 40 tahun dan mempunyai ahli keluarga dengan diabetes mellitus.

* Menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala termasuk memeriksa tekanan darah dan paras kolesterol atau lipid darah.

* Mendapatkan rawatan doktor jika tidak didatangi haid, bukannya membiarkannya berlarutan. Wanita PCOS yang mempunyai masalah haid (sedikit-sedikit atau tiada selama beberapa bulan) lebih terdedah kepada risiko hiperplasia endometrium dan kanser endometrium rahim.

Harus diingat, rawatan menurunkan haid hanyalah bertindak kepada lapisan endometrium rahim saja dan tidak kepada salah satu punca utama PCOS iaitu anovulasi.

* Anda juga boleh mendapatkan rawatan doktor sekiranya mempunyai masalah masalah jerawat dan berlebihan rerambut (contohnya misai) walaupun ia lazimnya mengambil masa beberapa bulan.

* Jika anda mengalami masalah kesuburan kelak yang disebabkan anovulasi, rawatan semudah ubatan (hormon kesuburan) lazimnya akan diberikan disusuli dengan pemantauan ultrabunyi transvagina. Jika ovulasi tidak berhasil cara ini, anda mungkin ingin memilih menjalani pembedahan drilling ovari laparoskopi. Anda juga harus faham tidak semua wanita PCOS mengalami masalah kesuburan. Terdapat faktor masalah kesuburan selain PCOS, ini juga perlu diselidiki.

gantikan susu ibu dengan asid folik

SIFAT alami ibu (dan bapa) membuat kita sanggup berbelanja atau menanggung ketidakselesaan demi kepentingan anak-anak walaupun sebelum dilahirkan lagi.

Asid folik (sejenis vitamin B, terdapat banyak jenis vitamin B) diketahui dapat mengurangkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang janin sebanyak sehingga 80 peratus.

Untuk memastikan ia diambil dalam dos mencukupi, vitamin ini ada tersedia dalam bentuk pil sama ada berdos 400 mcg (dos minimum) ataupun lima mg (5000 mcg) iaitu kira-kira 12 kali ganda dos diperlukan.

Ada juga penyediaan lain (contohnya susu) yang diperkayakan dengan asid folik. Ibu digalakkan mengambil asid folik sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil dan diteruskan sehingga kandungan berusia tiga bulan.

Bagi mereka yang pernah mempunyai bayi dengan kecacatan sedemikian pula, ia harus diambil sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum kehamilan. Untuk mengurangkan kesan sampingan pil asid folik (baunya memualkan), pengambilannya bolehlah ditukar kepada waktu malam kerana kesan sampingan itu tidak disedari apabila tidur.

Jika masih tidak berhasil, pengambilan susu hendaklah diteruskan, susu juga baik untuk kesihatan kita semua. Malah, semua wanita (hamil atau tidak) termasuk wanita yang mengambil pil asid folik digalakkan meminum susu.

Diabetes ibu segala penyakit

Ahad, November 29, 2009

Dihidapi dua orang setiap 10 saat di seluruh dunia sebabkan komplikasi termasuk jantung, buta, strok

DI sebalik kempen meraikan Hari Diabetes Sedunia yang disambut semalam, ada fakta lain yang harus dititikberatkan ramai apabila membicarakan kewajaran pelbagai program dan usaha kesedaran bahaya kencing manis ini.

Faktanya - setiap 10 saat, dua orang disahkan menghidap diabetes di seluruh dunia manakala empat juta lain maut akibatnya setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, diabetes juga berada di tangga keempat penyakit membawa maut.

Menggerunkan bukan? Hakikatnya, di Malaysia sendiri, kira-kira 1.2 juta rakyatnya disahkan penghidap diabetes atau kencing manis. Malangnya, apa yang menyedihkan, separuh daripada jumlah itu tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah dirawat kerana berdepan salah satu komplikasi diabetes.

Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad berkata, faktor Malaysia yang diketahui kaya pelbagai jenis hidangan yang lazat, sedikit sebanyak menjadikan ramai leka dengan kandungan gula dan kalori makanan yang diambil.

“Faktor ini digabung pula dengan gaya kehidupan moden kurang aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini,” katanya ketika merasmikan acara kempen kesedaran diabetes kepada orang awam anjuran persatuan itu, baru-baru ini.

Selain penyakit maut, diabetes juga kerap dirujuk sebagai ibu segala penyakit kerana memungkinkan pesakitnya berdepan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung termasuk kegagalan fungsi jantung. Malah, risiko serangan angin ahmar sememangnya lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes berbanding bukan penghidap penyakit itu.

Bukan itu saja, pesakit diabetes juga berisiko hingga empat kali ganda terhadap penyakit jantung atau yang berkaitan kardiovaskular.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula menegaskan, diabetes adalah penyakit seumur hidup yang setakat ini tidak boleh disembuhkan.

Namun, usaha mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil ubat-ubatan mengikut keperluan adalah kaedah pengurusan diabetes yang baik.

Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun,” katanya.

Biarpun diabetes dikenali sebagai penyakit orang dewasa, namun kebelakangan ini diabetes Jenis Dua terbukti semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia dikaitkan dengan masalah terlalu gemuk atau obesiti, kurang bersenam dan diet tidak sihat.

“Gaya hidup dan pemakanan menjadi punca kegemukan yang membawa kepada diabetes. Malah hari ini, tidak menghairankan jika anda mengenali seorang pesakit diabetes yang hanya berusia 12 atau 10 tahun,” katanya.

Jelas Dr Mafauzy, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2006, menyenaraikan Negeri Sembilan dan Melaka sebagai negeri yang mencatatkan kadar peratusan pesakit diabetes tertinggi di Malaysia manakala kadar diabetes terendah adalah di Sabah.

“Faktor genetik sememangnya penyumbang besar masalah diabetes. Di Malaysia, majoriti pesakit diabetes berketurunan India diikuti Melayu dan Cina.

“Namun perlu diingat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga yang ada sejarah penyakit itu maka risiko untuknya menghidap diabetes sangat tinggi. Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah pemakanan sihat dan lakukan senaman,” katanya.

Dr Mafauzy berkata, tidak ramai yang tahu, tetapi hakikatnya hampir 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia adalah daripada Jenis Dua. Selain faktor genetik, diabetes jenis ini turut dikaitkan dengan obesiti dan tidak aktif secara fizikal.

Diabetes Jenis Dua ini juga satu masalah kronik yang menjejaskan kaedah tubuh menangani glukos. Ini disebabkan diabetes jenis ini menyebabkan tubuh menolak kesan insulin atau tubuh tidak menghasilkan kadar insulin mencukupi bagi mengekalkan tahap glukos normal.

Diabetes Jenis Dua juga tidak memerlukan insulin sepanjang hayat tetapi anda boleh mengawal glukos dalam darah dengan diet, bersenam atau kombinasi pengambilan ubat-ubatan atau di kalangan sesetengah pesakit mungkin perlu mengambil sedikit insulin.

“Ada kala pesakit menunggu simptom datang sebelum mendapat rawatan. Namun, ada kala mereka langsung tidak sedar simptom yang ditunjukkan tubuh mereka. Ia menyebabkan mereka hanya tahu diserang diabetes secara tidak sengaja selepas terjadinya komplikasi kesihatan,” katanya.

Kadang kala, jika ada simptom pun, ia sangat minimum. Secara umum simptom diabetes adalah kerap membuang air kecil (polyuria), kerap dahaga (polydipsia), kerap lapar (polyphagia) dan hilang berat badan tanpa sebab yang khusus, rasa kebas yang ekstrim, rasa sakit pada kaki (disesthesias) dan penglihatan kabur.

Bagi jangka masa yang lama, diabetes menyebakan komplikasi pada jantung, salur darah, mata, ginjal juga saraf. Retinopati misalnya adalah sebab utama buta dan ia terjadi kerana jangka masa panjang. Retinopati menyebabkan kerosakan pada salur darah kecil di retina.

Secara umum tanpa pengurusan diabetes yang baik, selepas 15 tahun menghidap diabetes, dua peratus pesakit menjadi buta manakala 10 peratus berhadapan dengan masalah penglihatan.

Secara lebih teknikal pula, komplikasi diabetes terbahagi kepada komplikasi mikrovaskular (membabitkan salur darah kecil) seperti buah pinggang (nephropathy), saraf rosak (neuropathy), penglihatan terjejas (retinopati, katarak atau glaukoma).

Manakala komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) menyebabkan masalah seperti jantung, angin ahmar, gangrene dan akhirnya kaki dipotong (amputasi) selain masalah metabolik, mati pucuk dan masalah waktu hamil.

INFO: Faktor Risiko Diabetes Jenis Dua

# Usia dan bangsa - semakin anda berusia semakin tinggi risiko diserang diabetes. Apatah lagi jika anda dari keturunan kulit hitam, Asia Selatan dan kaukasian. Dalam satu kajian di United Kingdom didapati mereka yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh) adalah lima kali lebih berisiko diserang diabetes berbanding mereka yang berkulit putih.

# Genetik - jika ada lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah diabetis. Risiko anda lebih tinggi jika ahli keluarga itu adalah emak atau ayah malah bapa saudara sama ada sebelah ibu atau ayah.

# Obesiti - kebanyakan mereka yang menghidap diabetes Jenis Dua adalah obes. Lebih gemuk seseorang itu lebih tinggi risikonya. Apatah lagi jika tidak aktif bersenam.

# Diabetes waktu hamil - wanita yang diserang diabetes waktu hamil berisiko untuk menghidap diabetes.

Vitamin terbaik untuk anak

 Pastikan si kecil nikmati diet seimbang, elak makanan ringan

ADAKAH anak anda memerlukan vitamin tambahan dalam diet sehariannya? Apakah beliau cukup khasiat untuk membesar sebagai anak yang sihat dan cerdas?

Inilah persoalan yang sering melingkari minda ramai ibu bapa yang ragu-ragu mengenai keupayaan sendiri dalam memantau pembesaran anak-anak.
Justeru, tidak hairan apabila anak-anak zaman ini disogokkan dengan pelbagai pil bagi menambah kecergasan dan kecerdasan. Tetapi, adakah ini perlu? Tidakkah terlalu awal mendedahkan anak-anak dengan pelbagai vitamin tambahan?

Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata cara terbaik untuk memastikan anak-anak mendapat vitamin dan mineral adalah dengan memberinya peluang menikmati pelbagai jenis makanan.

Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam dietnya.
“Memang mudah menyebut diet yang sihat, tetapi kanak-kanak tidak makan seperti mana kita mahu mereka makan. Anak-anak yang cerewet dalam soal pemakanan tidak akan memperoleh vitamin, mineral dan nutrisi penting yang lain,” jelasnya.

Malah ada juga kanak-kanak langsung tidak makan makanan berkhasiat atau sihat. Ada yang lebih cenderung memilih makanan yang diproses dan makanan ringan kurang sihat dan kurang khasiatnya berbanding gula dan kalori.

Dr Azam berkata, anak-anak yang memilih makanan juga tidak mendapat khasiat secukupnya bagi membantu pembesaran mereka. Vitamin dan mineral yang amat penting bagi pembesaran kanak-kanak, secara umumnya boleh diperoleh dalam diet pemakanan seimbang. Tetapi ini sudah pasti menimbulkan masalah kepada kanak-kanak yang suka memilih makanan.

“Kanak-kanak yang tidak mengambil mengambil vitamin dan mineral secukupnya mungkin berhadapan dengan kadar IQ yang rendah berbanding kanak-kanak yang mendapat mineral dan vitamin mencukupi,” katanya.
Jelas Dr Azam, fakta penting yang perlu diketahui ramai adalah usaha meningkatkan tahap IQ kanak-kanak bukan bergantung pada jenis atau vitamin tertentu tetapi gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C.

Bagaimanapun pengambilan makanan tambahan juga harus sesuai dengan keperluan anak-anak kerana pengambilan makanan tambahan yang terlalu banyak sebaliknya boleh menjadi toksik kepada tubuh kanak-kanak.

“Apa yang perlu diketahui, vitamin dan mineral tidak merawat penyakit kecuali jika kanak-kanak mengalami masalah kekurangan vitamin atau mineral,” katanya.

Jika dilihat, makanan tambahan bukan lagi dalam bentuk pil atau kapsul. Ia juga tidak lagi terhad kepada vitamin dan mineral, sebaliknya asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan. Ada juga sebahagian makanan tambahan ini dimasukkan dalam susu tepung.

Misalnya, susu formula mengandungi rumusan DHA (asid docasaHexanenoic, sejenis omega 3) yang membantu perkembangan otak kanak-kanak.

Bagaimanapun jelas Dr Azam, vitamin dan mineral dalam susu formula tidak setanding dengan kandungan DHA dalam susu ibu. Tetapi, perlu diingat, jika ibu menyusukan anak tidak mengambil diet yang betul, ini pasti menjejaskan kualiti susu.

“Ramai ibu yang mahu segera kurus selepas pantang dan tidak makan dengan betul. Mungkin mereka akan cepat mendapat bentuk badan asal selepas bersalin tetapi tindakan itu menjejaskan khasiat susu ibu,”

Dr Azam berkata satu lagi makanan tambahan yang mungkin membantu dalam proses pembesaran kanak-kanak adalah probiotik. Anak-anak yang lahir melalui pembedahan kurang terdedah pada bakteria usus yang baik berbanding anak-anak yang dilahirkan nomal.

Pendedahan kepada bakteria usus yang baik membantu dalam proses pencernaan dan melindungi usus sekali gus mengurangkan simptom cirit birit.

INFO: Diet sihat si kecil
·  Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam makanan anak
·  Makanan tambahan bukan setakat vitamin dan mineral, tetapi asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan
·  Kanak-kanak kurang vitamin dan mineral secukupnya mungkin berdepan kadar IQ yang rendah
·  Usaha tingkat tahap IQ bergantung kepada gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C
·  Awasi pengambilan makanan tambahan. Jika berlebihan boleh menjadi toksik kepada tubuhnya.

Padah COPD

Asap rokok punca utama masalah sekatan pulmonari kronik, jejaskan paru-paru

ANDA sering batuk berterusan dengan kahak selain pernafasan yang tercungap-cungap. Paling ketara, anda sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal seperti menaiki tangga mahu pun mandi.

Jika anda mengalami gejala sedemikian, ditambah lagi dengan faktor usia berusia 40 tahun, perokok atau tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok, maka anda berkemungkinan menghidap masalah dikenali sekatan sekatan pulmonari kronik atau COPD.

COPD bukanlah satu penyakit dan jika merujuk bahasa mudah, ia adalah sekatan secara progresif yang berlaku dalam tiub dan saluran udara yang menjadikan paru-paru gagal berfungsi.

Di Malaysia, penyakit berkaitan masalah respiratori menjadi penyumbang keempat terbesar terhadap jumlah pesakit yang dirujuk ke hospital kerajaan seluruh negara terutama membabitkan penyakit sekatan pulmonari kronik atau COPD.

Sifat penyakit COPD yang progresif dan simptom yang hanya mula dikesan selepas usia menjangkau lebih 40 tahun, menjadikan kesedaran masyarakat terhadapnya masih di tahap rendah.
Presiden Malaysian Thoracic Society, Prof Dr Roslina Abdul Manap, menjelaskan ramai pesakit yang mengalami COPD ini tidak menyedarinya pada peringkat awal sebaliknya menyangka simptom yang dialami adalah semula jadi dan sebahagian dari proses usia yang semakin meningkat.

“Ia yang turut dikenali dengan panggilan emphysema dan chronic bronchitis ini juga tiada kena mengena dengan serangan asma atau semput walaupun dalam banyak situasi ia ditandai dengan simptom dan kaedah rawatan yang hampir sama.

“Harus diingat bahawa COPD adalah penyakit yang tiada penawar dan mengancam nyawa. Tetapi pada masa sama, ia masih boleh dirawat untuk tujuan mengawal simptom, mengurangkan risiko komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada bengkel COPD bertajuk ‘Breathless Not Helpless’ yang juga tema Hari COPD Sedunia yang jatuh pada 18 November lalu.
Biarpun disambut pada hari berkenaan, hakikatnya kempen mengelak COPD ini seharusnya menjadi satu usaha yang berterusan kerana tabiat merokok yang semakin menular, khususnya membabitkan golongan muda.

Seperti diakui Prof Roslina, tabiat buruk merokok sememangnya menjadi punca utama penyakit ini. Namun, apa yang menyedihkan, mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok atau dikenali perokok pasif, juga tidak terkecuali menjadi penghidapnya.

“Kira-kira 80 hingga 90 peratus pesakit COPD adalah perokok. Dalam kebanyakan kes, penderita COPD punya sejarah merokok lebih daripada 20 batang sehari selama 10 tahun atau lebih, sebelum simptom COPD bermula,” katanya.

Bagaimanapun, kata Prof Roslina, terdedah secara pasif pada asap rokok dan pencemaran udara yang konsisten juga menyumbang kepada kegagalan fungsi paru-paru ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menganggarkan perokok pasif atau asap tembakau yang mencemar persekitaran dikaitkan dengan peningkatan sebanyak 10 hingga 43 peratus risiko mendapat COPD bagi orang dewasa.

“Pencemaran udara dilihat sebagai satu lagi faktor penyumbang terutama menerusi sulfur dioksida dan asap hitam. Malah risikonya sama tinggi dengan asap rokok.

“Habuk dan asap kimia di tempat kerja juga boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru. Pendedahan kepada Cadmium, arang batu, habuk silika juga sangat berbahaya malah diet dan genetik juga memainkan peranan dalam penularan COPD,” katanya.

Memandangkan sifatnya yang progresif, usaha dikenali Global Initiative for Chronic Obstructive Lung Disease (Gold) menyarankan mereka yang berpotensi menghidap COPD dikesan awal menerusi alat diagnosis dipanggil spirometry.

Alat ini mengukur berapa banyak udara mampu dihembus dalam satu saat selepas menarik nafas dalam dalam; berapa banyak udara mampu dihembus secara paksa selepas menarik nafas dalam dalam dan berapa banyak daripada jumlah semua udara yang dihembus secara paksa berjaya dihembus pada saat pertama.



INFO: COPD atau sekatan pulmonari kronik

Simptom
  • batuk berterusan
  • batuk yang berkahak dan berlendir
  • sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal (cth: naik tangga, membeli belah, mandi dan memakai baju)
  • Mereka yang berusia lebih 40 tahun dan mempunyai simptom ini dinasihatkan berjumpa doktor


Diagnosis
  • COPD dapat dikenal pasti melalui diagnosis dengan mengenal pasti sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal, x-ray dan memeriksa fungsi paru-paru.


Kesan COPD
  • Boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit dengan ketara. Ini disebabkan gejala seperti batuk berterusan, menghalang pesakit daripada menjalankan aktiviti harian.


FAKTA:
  • WHO menganggarkan 210 juta penduduk dunia menghidap COPD, dan lebih dari 3 juta mati akibatnya pada 2005.
  • Daripada pelbagai punca kematian utama dunia, lima peratus adalah disebabkan oleh COPD dan di ramalkan pada 2020 COPD menjadi penyebab kematian ketiga tertinggi di dunia.
  • Kesan COPD di rantau Asia Pasifik dikatakan membimbangkan berikutan peningkatan bilangan perokok.
  • Dianggarkan 50 peratus lelaki di Malaysia merokok dengan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman manakala 500,000 penduduk adalah pesakit COPD sama ada pada tahap sederhana atau serius.
  • COPD turut membebankan ekonomi negara. Berbanding dua lagi penyakit berkaitan tabiat merokok, COPD menyumbang sehingga 77 peratus anggaran peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Risiko tulang rapuh

Kajian dapati rakyat Malaysia kurang ambil kalsium iaitu cuma 300 hingga 500 miligram sehari

TUBUH manusia memiliki 206 tulang bagi membentuk keseluruhan rangka badan. Setiap daripada tulang ini berpotensi mengalami keretakan atau patah jika anda tidak menjadikan pengambilan kalsium sebagai rutin.

Tulang yang dijaga dengan baik, tidak akan merosot kepadatannya walaupun anda sudah berusia. Wanita misalnya, memerlukan lebih banyak kalsium berbanding lelaki kerana kalsium membantu pengecutan otot, pembekuan darah dan gerakan saraf.

Wanita hamil pula memerlukan kalsium bukan saja untuk dirinya tetapi juga untuk bayi dalam kandungan. Ketika hamil, kalsium si ibu dipindahkan kepada janin sekitar 270 miligram menjelang tempoh tiga bulan terakhir kehamilan.

Sungguhpun begitu, tidak semua wanita mengambil berat mengambil pengambilan kalsium mereka. Selepas putus haid, ketiadaan hormon estrogen menyebabkan kepadatan tulang merosot mendadak. Dengan kadar jangka hayat wanita yang lebih lama berbanding lelaki, risiko tulang rapuh lebih tinggi di kalangan wanita.

Antara komplikasi tulang rapuh yang biasa ditemui adalah patah tulang pinggul dan ia adalah masalah global. Di Amerika Syarikat misalnya, kajian mendapati lebih 300,000 dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana masalah itu.
Di negara-negara Asia pula dianggarkan kira-kira 50 peratus kes patah tulang sendi pinggul berlaku menjelang 2050. Dalam satu kajian, pengambilan kalsium di kalangan rakyat Malaysia adalah antara 300 hingga 500 miligram (mg) sehari - satu jumlah yang sememangnya tidak mencukupi.

Masalah tulang rapuh berlaku apabila tulang kehilangan mineral dan kurang padat. Ia menyebabkan tulang lemah dan mudah patah. Selain pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan adalah tulang yang kerap patah.

Pereputan tulang berlaku lebih cepat dari dalam. Justeru, pengambilan kalsium harus ditingkatkan sejak muda.

Perlu diingat, usaha mengekalkan tulang sihat dan kuat, bukan kerja yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat seperti sehari semalam. Ia memakan masa lama dan belum terlambat bagi anda memulakannya sekarang.
Kekuatan tulang bergantung pada saiz dan kepadatannya. Kepadatan tulang diperoleh dengan bantuan kalsium yang bukan saja diperoleh daripada susu atau produk tenusu tetapi juga daripada sayur-sayuran hijau seperti brokoli dan sawi. Selain itu tingkatkan pengambilan ikan, buah-buahan, kekacang, vitamin D, zink dan magnesium.

Mengurangkan risiko tulang rapuh juga boleh dilakukan dengan meminimumkan risiko seperti tidak merokok, tidak minum arak dan mengurangkan jumlah pengambilan minuman berkarbonat serta yang mengandungi kafein.

INFO: Gejala tulang rapuh
  • Sakit belakang, ia boleh menjadi lebih teruk jika berlaku keretakan.
  • Ketinggian badan terjejas dan tubuh mula membongkok.
  • Keretakan tulang di pergelangan tangan dan pinggul.


‘Vitamin’ tulang
  • Susu dan produk tenusu
  • Sayur hijau seperti brokoli dan sawi
  • Ikan, buah-buahan, kekacang, vitamin D, zink dan magnesium

Punca sakit leher

kurang aktif, aktiviti fizikal mengejut sebabkan sendi, pangkal saraf terjejas

MASALAH sakit leher atau lebih dikenali ‘salah bantal’ adalah keluhan yang biasa kita dengar di kalangan masyarakat negara ini. Sakit yang ketara pada sebelah pagi dan berlanjutan sehingga lewat petang, bukan setakat menyukarkan pergerakan, tetapi mengganggu tugasan seharian selain membataskan kegiatan seperti memandu.

Malah, berdasarkan penyelidikan pengguna, satu daripada setiap empat dewasa di Malaysia mengalami sengal otot dan sendi. Apakah punca masalah ini? Berbeza daripada tanggapan ramai yang mengaitkannya dengan bantal semata-mata, masalah sakit leher ini sama ada disebabkan otot dan sendi kurang aktif atau pun kerana melakukan aktiviti mekanikal dan fizikal secara mengejut.

Gerakan paling asas seperti berjalan dan duduk sekalipun, jika dilakukan dalam adab yang tidak betul juga, lambat laun akan memberi kesan pada otot dan sendi tubuh andai dibiarkan berlarutan.

Perlu diketahui, kebanyakan pengidap sakit sendi tidak mengalami kerosakan pada sendi mereka. Sebaliknya kesakitan yang mengganggu ini mungkin berpunca daripada lapisan tisu luaran, otot, ligamen, sendi atau pangkal saraf.

Kesakitan ringan pula mungkin disebabkan oleh terseliuh atau ligamen atau otot yang terkoyak sedikit. Ini boleh disebabkan oleh aktiviti berat, mengangkat berat, postur atau kedudukan tubuh tidak elok, kecederaan atau pergerakan yang tidak betul.
Presiden Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) Dr Balwant Singh Bains, menjelaskan kawasan yang paling kerap mengalami masalah ini ialah leher, bahagian atas dan bawah belakang serta sendi-sendi yang menanggung bebanan seperti lutut dan pergelangan kaki.

Sakit otot dan sendi boleh timbul daripada dorongan melampau dan atau kerja-kerja mekanikal atau fizikal yang berulang-ulang.

“Sesetengah orang mengalaminya akibat duduk atau bekerja terlalu lama di depan komputer, manakala yang lain mungkin mengalaminya selepas bersenam di gimnasium atau bersukan.

“Malah, bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk berasa sedikit sengal otot dan sendi apabila berdiri atau berjalan terlalu lama.”
Antara punca utama kesakitan sengal sendi dan otot adalah disebabkan postur yang tidak betul. Sebagai contoh, kepala seberat 16 paun adalah bahagian tubuh yang tergantung sepanjang hayat manusia. Jika seorang individu berjalan atau berdiri secara bongkok, ia akan mengganggu postur.

“Jika seseorang berasa sakit, maknanya mereka tidak menggerakkan otot. Ini kerana otot yang tidak kerap digerakkan, lama kelamaan akan menjadikan sendi tegang dan akibatnya kita akan mula merasa sakit.

“Duduk sepanjang hari di pejabat tanpa banyak bergerak sama dengan mengundang masalah pada otot dan sendi,” katanya.

Dr Balwant berkata, mengikut kajian, lelaki dan wanita berusia 20 hingga 45 tahun lebih banyak mengalami kesakitan bahagian atas tubuh berbanding mereka dalam kumpulan usia 45 hingga 55 tahun.

“Bayangkan apa akan jadi apabila kumpulan pertama beralih menjadi kumpulan kedua. Ini bermakna ramai akan mengalami masalah leher dan sekali gus menyebabkan negara menanggung kerugian kos perubatan berjuta-juta ringgit,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, kata Dr Balwant, rakyat negara ini sememangnya bukanlah tergolong dalam kategori ‘prihatin’ diri dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Ini ditambah pula dengan demam atau kecenderungan bermusim terhadap aktiviti sukan seperti badminton, bola sepak, kriket dan renang.

Atas alasan inilah, adalah disarankan sebelum terbabit dalam apa-apa aktiviti sukan, individu perlu mendapat pandangan dan nasihat doktor mengikut tahap kecerdasan individu.

Sementara itu, syarikat pengeluar produk farmaseutikal dan kesihatan pengguna, GlaxoSmithkline (GSK) memperkenalkan Panaflex sejenis koyok berubat berasaskan teknologi hidrogel unik, khusus bagi kelegaan sengal otot dan sendi. Selain mudah digunakan, produk ini juga mampu memberikan kesan serta merta.

Penghasilan produk itu bertepatan dengan penyelidikan GSK yang mana 45 peratus daripada mereka yang mengalami sengal otot dan sendi menggunakan kombinasi pelega kesakitan topikal dan oral selain Panadol Extend.

INFO: Tip elak sakit otot dan sendi



  • Postur- elakkan berdiri atau berjalan secara bongkok
  • Tidur atas tilam yang keras
    Elakkan mengangkat barang berat secara membongkok
    >Kerap bersenam - elok untuk memastikan otot dan sendi berfungsi dengan lancar
  • Pastikan berat badan ideal kerana pengurangan berat badan boleh membantu
  • Amalkan rehat seketika termasuk melakukan regangan ketika memandu, berdiri atau duduk yang lama
  • Pelajari teknik menangani tekanan.

    Antara kaedah menangani kesakitan sendi/otot:
  • Sakit ringan akan reda dengan langkah-langkah mudah seperti merehatkan sendi itu secukupnya contohnya menerusi penggunaan ‘splint’ (alat khas)
  • Kerap mengenakan ’cold pack’ (ais yang dilipat dalam tuala) pada sendi yang tercedera sekurang-kurangnya 30 minit untuk mengurangkan bengkak dan kemerahan (keradangan)
    i>Selepas beberapa hari, guna pek sejuk dan panas secara berselang. Urut secara lembut juga boleh membantu
  • Gunakan pek panas untuk meringankan ketegangan sendi.
  • Guna ubat penahan sakit seperti paracetamol (panadol) atau ubatan jenis ubat bukan steroid anti-radang (NSAID).
    jika paracetamol tidak melegakan. Ini boleh didapati di farmasi.
  • Guna kasut bertumit rendah
  • Andai sakit berterusan, dapatkan rawatan dengan berjumpa pakar.

  • Mengapa Wanita Tumbuh Fibroid?

    Umur empat puluhan merupakan umur yang penting bagi seseorang wanita kerana dalam jangka waktu ini banyak perubahan yang berlaku sama ada perubahan jasmani, mental, emosi atau rohaniah. Kali ini,dibincangkan satu aspek perubahan jasmani yang boleh mengancam atau menjejaskan kesihatan seseorang wanita yang menjangkau umur empat puluhan. Ramai di kalangan mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan bersetuju bahawa dalam peringkat ini mereka mengalami berbagai-bagai perubahan. Salah satu daripada perubahan itu ialah gangguan haid.

    Pelbagai Gangguan Haid
    Pelbagai gangguan haid boleh berlaku sama ada haidnya berjalan secara tidak teratur atau secara teratur tetapi keluar dengan banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami masalah sakit (senggugut) ketika turun haid dan darahnya keluar berketul-ketul sehingga badannya menjadi lemah disebabkan kehilangan darah yang begitu banyak. Ada pula yang diganggu oleh perjalanan haid yang tidak betul seperti keluar tidak tentu masa dan sedikit demi sedikit serta berpanjangan pula. Ada pula yang tidak keluar haid selama beberapa bulan dan apabila keluar, wanita itu mengalami pendarahan yang begitu banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid seperti keluar sekali dalam dua atau tiga bulan dengan sedikit sahaja. Bagi mereka yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid ini selalu berasa bimbang sama ada dia akan mengalami putus haid (menopaus) atau tidak. Ada sesetengah wanita pula mengalami masalah turun darah selepas melakukan persetubuhan dengan suami. Ini mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya seperti ketumbuhan besar.
    Oleh itu, dinasihatkan kepada kaum wanita, jika dia mengalami masalah-masalah yang dinyatakan di atas, eloklah dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor mereka atau daripada pakar sakit puan.

    Gangguan Haid Boleh Menandakan Ketumbuhan Dalam Rahim
    Gangguan haid yang berbagai-bagai bentuk boleh menandakan sesuatu penyakit dalam rahim. Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan, penyakit yang sering menyebabkan gangguan haid ialah ketumbuhan daging pada dinding rahim, iaitu ketumbuhan yang dinamakan fibroid. Walau bagaimanapun, ada penyakit-penyakit lain yang lebih ditakuti seperti kanser pangkal rahim, kanser rahim dan ketumbuhan lain seperti endometriosis, adenomysis dan jangkitan kuman di dalam perkakas peranakan.
    Bagaimanapun, hanya akan dibincangkan tentang fibroid kerana ini merupakan ketumbuhan dalam rahim yang paling sering menyerang wanita. Walaupun, ketumbuhan fibroid sering berlaku, namun tidak kesemua ketumbuhan ini menimbulkan masalah dan kadang-kala seseorang wanita tidak sedar dia mempunyai ketumbuhan tersebut sehingga akhir hayatnya kerana ketumbuhan itu tidak menimbulkan apa-apa tanda ataupun gejala yang boleh mengancam kesihatannya.

    Apakah Ketumbuhan Fibroid?
    Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.
    Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”.

    Mengapa Tumbuh Fibroid?
    Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.
    Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.
    Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid.

    Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
    Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan.
    Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja.
    Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.
    Apakah Gejala-gejala Fibroid?
    Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen. Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.
    Gangguan Haid
    Tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan kesihatannya.

    Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor pakar sakit puan.

    Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
    Fibroid boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung.
    Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya. Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.

    Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing
    Pundi-pundi air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman. Akibatnya seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala wanita juga tidak boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.

    Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
    Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan.

    Apakah Fibroid Perlu Dirawat?
    Seperti yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun), fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak diperlukan.
    Setakat ini tidak ada rawatan yang menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar biasa.

    Fibroid Dirawat Secara Pembedahan
    Rawatan yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak.
    Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.
    Pembedahan untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.

    Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)
    Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan sediakala.

    Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti.

    Kejelitaan Dipengaruhi oleh Hormon
    Kejelitaan dan fungsi seksual lebih dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan oleh kilang ovari. Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang ovari akan dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana kilang ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan dan juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara suami isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan akan menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang tidak teratur serta berpanjangan. Wanita itu akan menghadapi hidup yang lebih selesa tanpa haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh menumpukan lebih masa untuk beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk bersembahyang atau berpuasa kerana haid tidak akan datang lagi dan hubungan seksual boleh dilakukan pada bila-bila masa. Keadaan kesihatan akan menjadi lebih baik kerana kehilangan darah tidak akan berlaku lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi lebih sihat dan sejahtera selepas pembedahan hysterektomi.
    Ketumbuhan fibroid yang wujud bersama dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya dirawat dengan pembedahan melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut akan wujud di bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan dilakukan menerusi saluran faraj. Di samping itu, kekenduran pada saluran faraj dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran berlaku pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan pembedahan untuk membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di sekeliling rahim akan menjadi lebih kukuh lagi.

    Ditekankan sekali lagi, bahawa fibroid adalah ketumbuhan yang paling sering berlaku di dalam rahim wanita tetapi puncanya tidak diketahui. Ia bukan ketumbuhan kanser dan jarang menyebabkan kematian tetapi ia boleh menimbulkan beberapa gejala termasuk gangguan haid, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan perkencingan dan sebagainya. Setakat ini tidak ada ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan ini. Rawatan yang mutlak baginya ialah pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut sama ada ketumbuhan itu disertai dengan pembuangan rahim atau hanya pembuangan ketumbuhan sahaja. Umur empat puluhan ialah tahap umur yang sering diserang dengan masalah ketumbuhan fibroid.

    APAKAH KESAN PEMBEDAHAN MEMBUANG RAHIM?
    Ramai wanita telah menjalani pembedahan untuk membuang rahim mereka kerana sebab-sebab tertentu dan dalam keadaan yang penting atau cemas. Ramai di kalangan mereka mendapat faedah dan manfaat daripada pembedahan tersebut, tetapi ada juga di kalangan mereka yang menyesal, rasa bersalah dan juga mengalami berbagai-bagai masalah serta pergolakan emosi dan mental. Ada juga yang mengalami masalah hubungan antara suami isteri. Kali ini saya ingin membincangkan tentang baik buruknya pembedahan tersebut, kesan jangka pendek dan panjang, dan apakah punca-punca yang menyebabkan doktor melakukan pembedahan untuk membuang rahim.
    Bagi wanita, rahim adalah satu organ badan yang sangat penting kerana ia melambangkan kewanitaannya dan satu tonggak bagi kesuburannya. Tanpa organ ini, wanita itu pincang atau tidak cukup sifat, dan ada di antara mereka menyangka, bahawa dia bukan seorang wanita lagi. Sesetengah suami pula menganggap, wanita tanpa rahim bukanlah wanita dan padanya mungkin kurang berguna lagi.
    Sebenarnya, ada dikalangan wanita-wanita yang lahir tanpa rahim. Ini adalah keadaan semula jadi yang disebabkan oleh sesuatu gejala yang timbul dalam proses pembentukan organ tetapi bahagian lain peranakan, seperti saluran faraj dan kilang ovari masih ada. Wanita ini masih mempunyai sifat fizikal, perwatakan dan lain-lain ciri kewanitaan, melainkan dia tidak didatangi haid, tidak mungkin hamil dan melahirkan anak walaupun sekarang ini ada cara melahirkan ataupun meneruskan bakanya secara meminjam rahim orang lain tetapi dengan menggunakan benih suaminya. Wanita yang lahir tanpa rahim sebenarnya tidak merasa dirinya lain daripada wanita lain, melainkan dia tidak didatangi haid sahaja seperti wanita lain.
    Begitu juga keadaannya di kalangan wanita yang telah menjalani pembedahan untuk membuang rahim. Apa yang kurang pada dirinya ialah dia tidak didatangi haid setiap bulan sedangkan fungsi-fungsi lain adalah seperti biasa. Pusingan hiad bagi wanita adalah sangat penting untuk menunjukkan bahawa dia subur dan mempunyai perkakas peranakan yang normal. Tetapi, ada juga wanita yang mempunyai rahim, kilang telur dan saluran faraj yang normal tetapi haidnya tidak datang atau datang secara tidak teratur.
    Apakah sebenarnya hikmah atau pengertian di sebalik kedatangan haid setiap bulan dari segi pandangan ahli sains perubatan? Sebenarnya, haid datang setiap bulan oleh sebab tidak ada kehamilan berlaku. Jika kehamilan berlaku, tanda pertama ialah haidnya tidak datang. Kedatangan haid setiap bulan dikawal oleh pusingan hormon di dalam darah badan wanita. Apabila seseorang wanita itu mengandung, kandungan hormon meningkat dan menyebabkan haid tidak datang. Haid yang tidak datang sewaktu hamil adalah penting kerana wanita perlu menyimpan darahnya untuk menampung keperluan bayi yang sedang membesar dalam rahim.
    Sebenarnya, wanita tidak didatangi haid oleh sebab-sebab tertentu ataupun disebabkan rahimnya dibuang atau diberi ubat untuk menahan atau melambatkan haid, dia tidak mengalami apa-apaa masalah seperti keracunan darah. Ada sesetengah orang percaya, bahawa jika darah haid tidak keluar maka darah kotor ini akan bertimbun dalam badan menyebabkan keracunan. Oleh itu, ramai wanita yang percaya, bahawa jika haidnya tidak datang, dia akan merasa tidak sihat dan mengadu tentang berbagai-bagai macam kesihatan di seluruh tubuh badannya. Tetapi, ini hanyalah satu anggapan dan kepercayaan sahaja.

    Mengapa Rahim Perlu Dibuang?
    Pada masa ini, khususnya di negara-negara Barat, pembedahan untuk membuang rahim berlaku begitu banyak oleh sebab-sebab yang begitu remeh. Ini mungkin disebabkan oleh sikap yang kian berubah di kalangan wanita sendiri dan di kalangan doktor. Di negara Barat, terlalu banyak pembedahan untuk membuang rahim dilakukan di kalangan wanita yang berumur tiga puluhan oleh sebab-sebab masalah pendarahan dari rahim yang tidak tentu masa dan mungkin berlebihan. Pada hal, tidak ada ketumbuhan yang berbahaya pada rahim. Di Malaysia, kita masih lagi bersikap konservatif dan doktor tidak begitu bebas untuk melakukan pembedahan membuang rahim. Biarlah sikap ini dikekalkan kerana saya sendiri percaya, bahawa membuang rahim oleh sebab perkara-perkara yang agak remeh boleh menimbulkan beberapa masalah emosi dan mental di kalangan wanita dan ia mungkin boleh menjejaskan hubungan kelamin. Tetapi, pembedahan untuk membuang rahim tidak boleh dielakkan dalam keadaan-keadaan seperti yang berikut:
    1. Tumbuhan Kanser
    Ketumbuhan kanser yang paling sering di kalangan wanita ialah kanser pangkal rahim, kanser badan rahim dan kanser ovari. Dalam keadaan-keadaan begini, doktor dan wanita berkenaan tidak ada pilihan lain melainkan menjalani pembedahan untuk membuang rahim dan bahagian-bahagian sekitarnya.
    Bagi kanser pangkal rahim, bukan sahaja rahim dan pintu rahim yang akan dibuang tetapi juga melibatkan sebahagian atas saluran faraj, kelenjar-kelenjar di sekelilingnya, dan kilang telur juga dibuang. Ini adalah pembedahan radikal yang besar dan ia dilakukan untuk menyelamatkan wanita tersebut. Penyakit kanser seperti yang kita ketahui adalah sejenis penyakit yang boleh merebak jauh, bukan sahaja di kawasan sekitar ketumbuhan itu, malah ia merebak melalui darah untuk merosakkan paru-paru, hati dan lain-lain.
    Apa yang menjadikan kita dalam keadan ini ialah kadang-kala penyakit kanser ini boleh menyerang wanita yang masih muda, khususnya kanser ovari. Boleh saya katakan di sini, bahawa kebanyakan wanita yang diserang penyakit kanser adalah mereka yang berumur empat puluhan ke atas, kanser badan rahim menyerang wanita yang lepas putus haid dan kanser ovari pula menyerang wanita yang berusia dalam lingkungan 45 ke atas
    .
    Tetapi saya sendiri telah banyak kali menemui kes-kes gadis atau wanita yang masih muda menghidapi penyakit kanser kilang telur dan ovari. Dalam keadaan ini, kadang-kadang doktor tidak mempunyai pilihan lain, melainkan membuang semua organ peranakannya termasuk rahim dan ovari. Tetapi, sekarang ada dikalangan doktor yang lebih konservatif dalam pendekatan atau kaedah pembedahan. Jika wanita itu masih muda dan wanita itu menghidapi penyakit kanser ovari, mungkin hanya ovari yang terlibat sahaja yang dibuang, dan dia cuba mempertahankan rahim atau ovari yang lain, demi untuk kemungkinan wanita ini melahirkan zuriat di masa hadapan.
    Pembedahan untuk membuang rahim memang tidak boleh dielakkan dalam penyakit kanser yang melibatkan perkakas peranakan dan memang diakui dan tujuannya adalah untuk menyembuhkan penyakit tersebut dan untuk memberi peluang wanita itu hidup lebih lama lagi, walaupun adakalanya setelah dibedah wanita itu masih lagi menghidapi penyakit kanser.

    2. Penyakit Ketumbuhan Seperti Fibroid
    Ketumbuhan fibroid yang menimbulkan masalah seperti pendarahan yang banyak dan berpanjangan memerlukan pembedahan dan kadangkala rahim perlu dibuang bersama dengan ketumbuhan tersebut. Itu pun jika wanita itu telah mempunyai anak dan tidak berhasrat untuk mempunyai anak lagi. Tetapi bagi wanita yang masih mudah dan masih inginkan zuriat, biasanya doktor hanya membuang ketumbuhan fibroid sahaja.
    Wanita yang berumur 40 ke atas dan telah mempunyai anak serta menderita akibat daripada pendarahan atau kesakitan waktu haid, perlulah menjalani pembedahan untuk membuang rahim. Dalam keadaan ini, jika ovari atau kilang telur masih baik lagi, biasanya ia tidak akan dibuang tetapi disimpan untuk pengeluaran hormon estrogen demi untuk mengekalkan keserian dan ciri-ciri hormon estrogen demi untuk mengekalkan keserian dan ciri-ciri kewanitaan wanita tersebut.
    Banyak ketumbuhan fibroid tumbuh semula setelah dibedah jika rahimnya tidak dibuang pada ketika itu. Oleh itu, wanita berkenaan perlu berwaspada dan patut membuat pemeriksaan setiap tahun atau enam bulan sekali, sama ada ketumbuhan itu tumbuh semula atau tidak. Jika ketumbuhan itu masih berulang semasa pembedahan yang pertama, pembedahan yang kedua perlulah dilakukan untuk membuang rahimnya.

    3. Penyakit Endometriosis
    Penyakit endometriosis yang berlarutan boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti senggugut yang amat teruk, pendarahan yang banyak pada waktu dan di luar waktu haid, kesakitan semasa hubungan kelamin dan kemandulan. Sebenarnya, penyakit endometriosis ini semakin meningkat dan semakin kerap berlaku di kalangan wanita masa kini. Saya sendiri tidak faham apa puncanya, mungkin ada kaitannya dengan perubahan cara hidup kita, khususnya kahwin lambat, penjarakkan anak dan penangguhan untuk hamil. Tetapi, apa yang ketara ialah tekanan fizikal, mental dan emosi yang kian meningkat pada masa kini yang boleh menyebabkan masalah penyakit endometriosis ini.
    Penyakit endometriosis adalah disebabkan oleh tumpuhan atau limpahan darah di luar rahim akibat tisu endometrium tumbuh di luar rahim seperti di kilang telur ovari, di belakang rahim, di hadapan rahim, saluran Falloppian dan di kawasan sekitar seperti pundi-pundi air kencing dan saluran kencing. Masalah utama yang dialami oleh pesakit endometriosis ini ialah senggugut dan ketidaksuburan atau kemandulan, seterusnya menyebabkan masalah-masalah haid yang mungkin berlebihan atau berpanjangan dan teruk yang mungkin menyebabkan kesakitan semasa hubungan kelamin. Bagi wanita yang mengalami masalah ini, saya sungguh bersimpati terhadap mereka kerana ramai wanita setelah menjalani pembedahan atau rawatan, menghidapi penyakit ini semula.
    Ada yang percaya, bahawa penyakit ini akan sembuh apabila wanita itu hamil, tetapi untuk menjadikan wanita itu hamil adalah satu masalah besar. Pelbagai jenis rawatan diberi dan dilakukan, masih tidak berjaya dan apabila gagal untuk hamil, wanita ini akan mengalami ulangan penyakit tersebut. Akhirnya, penyakit ini akan merebak menyebabkan gejala-gejala yang saya nyatakan tadi, dan apabila wanita itu sampai ke umur 40 ke atas, rahim dan mungkin kedua-dua ovarinya terpaksa dibuang kerana diserang penyakit endometriosis.

    4. Prolaps Rahim Atau Rahim Terkeluar
    Bagi wanita, khususnya wanita yang telah putus hadi, masalah prolaps rahim atau rahim terkeluar boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah. Ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan kerana setiap kali wanita berkenaan berdiri, meneran atau batuk, rahimnya terkeluar. Tetapi, apa yang kadang-kadang menyulitkan wanita ialah apabila dia bersin, batuk, mengangkat benda-benda yang berat dan kadang-kadang ketika sujud dalam sembahyang dia terkencing.

    Inilah yang menyulitkan mereka kerana ia akan membatalkan sembahyang, dan jika prolaps rahim menimbulkan masalah perkencingan dan lain-lain perkara perlulah dibedah. Pembedahan ini biasanya dilakukan melalui saluran faraj dari bawah, tidak ada parut di perut dan biasanya rahim akan dibuang sama sekali.

    5. Pendarahan Ketika Atau Selepas Bersalin
    Banyak kali saya menyaksikan perkara ini berlaku. Wanita sepatutnya bersedia sebelum bersalin kerana pendarahan akan berlaku ketika seseorang wanita itu melahirkan anak dan kebanyakannya sedikit sahaja dan tidak akan mengganggu kesihatannya. Tetapi, adakalanya pendarahan ini berlaku dengan begitu banyak, mungkin akibat rahim tidak boleh kuncup, rahim lemah ataupun uri melekat dan tidak boleh langsung dipisahkan, ataupun lain-lain punca seperti kecederaan akibat daripada pembedahan ataupun kelahiran secara forseps atau vakum.
    Ini akan menyebabkan pendarahan yang begitu banyak. Akhirnya, apabila pendarahan berlaku dengan begitu banyak, ia akan mengancam nyawa ibu tersebut dan doktor akan cuba berbagai-bagai cara untuk mengatasi pendarahan ini untuk menyelamatkan ibu dengan cara melakukan pembedahan kecil untuk membuang uri jika ia melekat. Ada wanita memerlukan darah sampai 40 hingga 50 botol demi untuk menyambung nyawanya.
    Akhirnya, rahim terpaksa dibuang untuk menghentikan pendarahan tersebut, jika ia berdarah seperti air paip dan darah yang dimasukkan melalui tranfusi tidak akan dapat menampung atau mengatasi tumpahan darah yang begitu banyak daripada saluran rahim.
    Apa yang menyedihkan dalam hal ini ialah kadang-kadang ia berlaku di kalangan wanita yang melahirkan anak sulung dan dia perlu dibedah untuk membuang rahim oleh sebab pendarahan yang begitu banyak, di mana keadaan ini boleh menimbulkan masalah di masa hadapan. Tetapi, wanita itu tidak ada pilihan di waktu itu kerana pilihan dia dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya. Jika tidak, dia mungkin akan mengalami maut.

    6. Pendarahan Yang Luar Biasa
    Satu keadaan yang sering mengganggu wanita ialah pendarahan yang berpanjangan dan tidak tentu masa. Apabila doktor memeriksa dan merawat secara D & C atau dengan ubat-ubatan, doktor tidak dapat mengesan ketumbuhan atau kanser, ataupun lain-lain penyakit. Pendarahan luar biasa ini adalah disebabkan oleh keadaan hormon yang tidak seimbang dan dalam istilah perubatan kita, ia dinamakan dysfunctional uterine bleeding. Keadaan inilah yang paling sering menyebabkan pembedahan dilakukan untuk membuang rahim khususnya di negara Barat.

    Saya percaya, ketidakseimbangan hormon yang akhirnya menyebabkan masalah pendarahan luar biasa adalah disebabakan oleh keadaan mental dan tekanan jiwa yang sekarang ini begitu banyak berlaku di kalangan wanita-wanita Barat dan mungkin sedang merebak di kalangan wanita-wanita di negara kita. Sebenarnya kes-kes seperti ini perlulah dirawat secara konservatif dulu, iaitu dengan ubat-ubatan ataupun dengan pembedahan kecil seperti D & C, dan juga lain-lain rawatan sokongan, khusus bagi wanita-wanita yang mengalami masalah tekanan jiwa dan mental.

    Satu lagi perkara yang boleh menyebabkan pendarahan luar biasa ini ialah wanita yang terlalu gemuk. Wanita ini memerlukan rawatan sokongan diet, bersenam untuk menguruskan badan mengikut apa yang sewajarnya bagi ukuran ketinggiannya. Sebelum kita melakukan pembedahan untuk membuang rahim oleh sebab pendarahan yang luar biasa yang mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon, segala percubaan, segala kaedah rawatan patutlah dicuba dahulu dan wanita itu juga patut bertenang dan tidak memaksa atau mendesak untuk melakukan pembedahan untuk membuang rahim.

    Saya percaya, ramai wanita biasanya memaksa doktor untuk melakukan pembedahan untuk membuang rahim. Inilah yang sering berlaku di negara Barat dan pembedahan untuk membuang rahim ini sangat banyak dilakukan. Pada masa ini, ada tatacara pembedahan yang tidak melibatkan rahim di buang tetapi cuma sebahagian lapisan dalam rahim di buang melalui pembedahan yang dinamakan debulking menerusi alat teropong hysteroskop.

    Kaedah pembedahan ini hanya sesuai untuk wanita yang tidak mengalami ketumbuhan tetapi mengalami pendarahan yang banyak dan berpanjangan dan mungkin lapisan rahim itu sangat tebal. Pembedahan ini tidak sesuai bagi ketumbuhan lain seperti kanser atau ketumbuhan fibroid, endometriosis dan sebagainya.

    Pembedahan rahim adalah satu pembedahan yang besar. Sebelum keputusan dibuat, wajarlah berunding secara bersama-sama antara suami isteri. Namun, dalam konteks masyarakat kita, khususnya masyarakat Islam, mungkin juga ada baiknya perbincangan dan nasihat perlu didapati daripada ibu-bapa wanita berkenaan.

    Bagaimanapun, rundingan daripada rakan-rakan tidak diperlukan kerana mungkin akan memberi pelbagai jenis pandangan yang mungkin bercanggah. Doktor adalah orang yang sebaiknya untuk mendapat nasihat dan pandangan. Nasihat dan pandangan dari seorang doktor mungkin tidak mencukupi. Jadi, elok juga mendapatkan pandangan yang kedua atau ketiga dari doktor lain sama ada pembedahan ini perlu dilakukan. Tetapi, dalam kes-kes yang begitu jelas sekali seperti ketumbuhan besar, kanser dan sebagainya, tidak ada pilihan yang lain dan tidak perlu mendapat pendangan doktor lain.

    Apa yang penting ialah keputusan dibuat bersama-sama suami dan supaya jangan menyesal di kemudian hari. Kebanyakan kes yang saya lihat, wanita yang menjalani pembedahan tersebut merasa lebih selesa kerana mungkin sebelumnya dia telah menderita daripada berbagai-bagai jenis masalah dan gejala.

    Related Posts with Thumbnails

    Ukur Kelajuan Blog Anda

    Your domain(s): Enter each address on a new line (Maximum 10)
     
    (eg: hjhgenius.blogspot.com.)    
     

     
    AHLEN © 2008 Por Dekma